Tuesday 1 January 2013

Agar-agar Kopi & Santan!

Hari ini pagi-pagi lagi saya dah terpacak di dapur.  Niat di hati mahu cuba buat agar-agar dan  masak tomyam udang untuk makan tengah hari Tahun Baharu ni...  
Agar-agar sebenarnya resepi yang tak pernah saya cuba!
Sebelumnya ada juga saya buat resepi ala-ala agar-agar, cuma saya guna serbuk jelly dan satu lagi resepi puding jagung.  Tomyam saya buat sebab ada lebihan bahan-bahan masak lemak cili api yang saya buat kelmarin semasa cuti hujung minggu.
Saya masak berdasarkan resepi daripada buku 1 Hari 1 Resepi hasil tulisan Chef Hanieliza.  Harga yang saya dapat ada potongan RM 10 dari POPULAR. Kebetulan pula masa dapat kupon diskaun tu saya memang masukkan sebuah buku ni di dalam raga. :)
Agar-agar yang saya mahu buat sebenarnya Agar-agar Santan dan Agar-agar Laici (seperti yang di'request' suami), tapi bahan tak cukup pula!

Telur tiada (saya malas beli telur sebab selalu tak sempat habiskan akan buruk -kenapa telur tak boleh beli sebiji je dari kedai?) dan tak jumpa pula laici di dalam tin yang halal. Satu lagi saya tak jumpa susu sejat. Al-maklum kedai yang saya selalu singgah tu hanyalah kedai kecil depan kawasan perumahan saya.
Akhirnya saya bahagikan agar-agar jadi tiga bahagian- kopi, santan (santan kotak lebihan masak lemak yang tinggal separuh) dan nata de coco & nenas.
Dapatlah 8 mangkuk Agar-agar Nata De Coco & Nenas dan Agar-agar Santan Lapis Kopi!

Resepi Agar-agar Nata De Coco & Nenas dan Agar-agar Santan Lapis Kopi

Bahan-bahan:
1 peket agar-agar kering (15 gram)
10 cawan air
Nata De Coco & Nenas dalam tin
Serbuk kopi 1 sachet (saya ambil yang dapat percuma dari hotel! )
1/2 kotak santan (kecil)
2 cawan gula merah
1 cawan gula halus

Cara masak agar-agar:
1. Panaskan agar-agar dengan 10 cawan air sehingga mendidih. Kacau.
2. Masukkan gula merah dan gula halus sehingga mendidih. Kacau.
3. Bahagikan kepada 3 bahagian. Satu bahagian campur dengan serbuk kopi. Satu bahagian lagi dengan santan-panaskan sekejap.

a) Agar-agar Nata De Coco & Nenas
1. Tabur Nata De Coco & Nenas dalam tin (sejat airnya dahulu) ke dalam mangkuk  plastik pakai buang yang comel.
2. Tuangkan agar-agar yang tak dicampurkan apa-apa.
3. Biarkan sejuk di dalam peti ais dan sedia untuk dimakan. Nomnomnom!

b) Agar-agar Santan Lapis Kopi
1. Tuang agar-agar yang telah dicampurkan dengan kopi.
2. Sejukkan di dalam peti sejuk sehingga keras.
3. Tuang agar-agar yang telah dicampur santan.
4. Biarkan sejuk di dalam peti ais dan sedia untuk dimakan. Nomnomnom!

Resepi Tomyam Udang

Bahan-bahan:
Tomato belah separuh (lebihan masak lemak!)
Lobak merah 1/3 batang (sederhana besar)
Udang 6 ekor
Pes tomyam (1 sudu besar)
Daun limau
Seulas bawang putih -tumbuk sedikit
Bawang besar 1/2 biji (belah 3)
Halia 1/2 inci-tumbuk sedikit
Cili padi 4 biji -tumbuk sedikit
Serai -tumbuk sedikit
Sedikit perahan asam jawa
Garam dan gula merah secukup rasa

Cara-cara:
1. Masukkan semua bahan kecuali udang dan tomato.
2. Setelah mendidih masukkan udang dan tomato.
3. Perasakan dengan gula merah dan garam.
4. Siap dimakan!

Alhamdulillah ketiga-tiga resepi menjadi. 
Sebelum ni saya pernah buat tomyam tapi rasanya tak begitu 'kick' macam di kedai.  Kawan sepejabat perkenalkan saya cendawan enoki dan rencah tomyam yang sedap (bukan Maggi).

Tahu tak cendawan enoki?
Cendawan Enoki

Rasanya macam cendawan biasa dan sedap kalau dibuat sup dan tomyam. Boleh juga kalau nak goreng dengan daging. Harganya dalam RM 1++ satu peket. Cara nak masak buang dahulu akar dan cuci bersih-bersih.
Memasak ni memang 'best' kalau menjadi. Semangat saya berkobar-kobar betul sejak beli buku memasak yang 'best' Chef Hanieliza ditambah pula dorongan suami yang tersayang. Lagi pun dengan memasak ni insya'Allah dapat bantu saya menjimatkan wang. 
Selamat Tahun Baharu 2013!!!

No comments:

Post a Comment