Wednesday 28 October 2015

Nasi Mentega ala Nasi Lemak dan Telur Bistik

Bismillah

Minggu lepas adalah minggu yang sangat sibuk...sebabnya ada pertandingan yang saya sertai anjuran MARDI (MaGIS) jadinya banyak stok yang dibeli hujung minggu lalu tak termasak...huhu...

Itulah yang tak seronoknya, bila dah sibuk, balik penat dan tak masak, bila nak masak buka peti ais kecewa sayur-mayur yang dibeli dah layu :( pembaziran di situ...

Hujung minggu baru ni Ahad, tak balik Gombak sebab kami dah mula survey barang untuk masuk rumah baru...saya pun merajinkan diri masak nasi mentega ala-ala nasi lemak dengan telur rebus dan sambal, kacang goreng serta ikan bilis. Timun pun dah hampir-hampir layu..huhu. 


RESEPI NASI MENTEGA ALA-ALA NASI LEMAK

Bahan-bahan
Beras 1.5 pot 
Mentega 2 sudu besar
Bunga lawang 1
Halba satu sudu kecil
Kulit kayu manis 1
Bawang merah 1
Bawang putih 1 ulas
Air secukupnya
Garam 

Cara-cara
Tanak beras dengan air
Tumis semua bahan lain hingga naik bau, bolehlah dimasukkan ke dalam nasi yang sedang mendidih/ ditanak

Saya memang suka masak sekali makan sejak mengandung ni..huhu...sebabnya rasa macam membazir bila masak banyak, nanti selalu tak ulang makan. Akhirnya masuk tong sampah...

Huhu...


SAMBAL NASI LEMAK


Bahan-bahan
Segenggam cili kering
Tomato 1
Bawang besar 1
Bawang putih 2 ulas
Minyak secukupnya
Air asam jawa, gula dan garam sebagai perasa
Ikan bilis dua sudu besar

Cara-cara
1. Rendam cili kering dalam air panas hingga kembang
2. Blend kering dengan bahan-bahan lain (kecuali minyak)
3. Tumis hingga pecah minyak
4. Perasakan dengan garam, gula dan air asam

*tambah tomato dan bawang besar jika suka


Bolehlah dimakan dengan ikan bilis, kacang goreng dan timun... :) tak perlu santan pun..insya'allah berbaloi dan sedap.


***
Sarapan pagi tadi pula buat telur bistik lebihan lobak merah yang diguna untuk buat nasi goreng...senang sangat telur bistik ni...


TELUR BISTIK

Bahan-bahan
Telur 2
Garam
Jagung frozen
Lobak merah potong kecil memanjang
Bawang putih 2 ulas
Bawang besar 1
Daun bawang
3 cili padi
Kicap, sos tomato, sos cili dan sos tiram secukupnya
Minyak secukupnya

Cara-cara
1. Buat telur dadar. Perasakan dengan garam.
2. Angkat telur. Dengan menggunakan minyak yang sama tumis bawang putih dan bawang merah hingga naik bau.
3. Masukkan lobak merah dan jagung. Kicap dan sos. Masukkan air bagi cairkan kuah.
4. Apabila mendidih. Tutup api dan tuangkan ke atas telur dadar tadi. Hiaskan dengan cili padi yng telah dipotong kecil bersama-sama dengan daun bawang. SIAP!

*Boleh ditambah isi ayam...tapi tak sempat pula nak proses ayam pagi tadi...

So, malam ni resepi ayam...huhu

Friday 16 October 2015

KETAM BERSOS MASAM MANIS

Bismillah

Alhamdulillah. Setelah lama tak berkunjung ke sini...

Mood memasak kembali ke dalam diri, setelah hampir 5 bulan tidak ke dapur. Huhu,

Perasaan malas dan loya ke dapur barangkali kerana mengandung. Alhamdulillah ala kulli hal.

Sebenarnya rasa kasihan pada suami sangat-sangat dan kami asyik makan luar sampaikan saya bosan. Saya rasa bersalah sangat masa tu. Sebelum ni dahlah suami duduk jauh dan makan pun tak teratur kerana hendak berjimat. Apabila duduk berdua saya tak masak pula...dan kalau makan luar faham-fahamlah, duit yang keluar pun tidak kurang banyaknya. Ditambah dengan rasa bosan akhirnya apabila asyik memesan makanan lebih kurang sama. 

Saya pun tanam tekad dalam hati, bulan ke-5 mengandung, insya'allah saya ingin masuk dapur memasak. Sebabnya saya terbaca juga di internet, bulan ke-5 ke atas selalunya alahan dan perangai pelik ibu hamil kian berkurangan. Huhu.

Bermulanya saya memasak apabila nak balik rumah mentua sempena Hari Raya Aidil Adha, saya masak sambal bilis dengan kacang serta kentang.

Selepas tu, alhamdulillah berterusan memasak sarapan dan makan malam, kecuali kadang apabila tak berdaya sangat atau ubah angin, kami akan makan di luar. 

Tapi yang peliknya sekarang saya lagi suka makan apa-apa yang saya masak. Lebih-lebih lagi bila tengok suami laju-laju menyuap makanan. :) 

Ada beberapa resepi mudah yang ingin saya kongsi buat rujukan di kemudian hari.


KETAM BERSOS MASAM MANIS

Bahan-bahan
2 ekor ketam
5 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
1 biji tomato
1 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
air, minyak, gula dan garam secukupnya

Cara-cara
1. Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga naik bau.
2. Masukkan sos cili dan sos tomato
3. Masukkan tomato dan air. Reneh tomato sehingga sebati sebagai kuah
4. Masukkan ketam dan biarkan masak sebelum diperasakan.


*TIPS: Masak ketam jangan lama untuk dapat isi yang lembut dan cair di mulut. 

Thursday 4 June 2015

Selamat Datang Ramadan!



Tuesday 2 June 2015

Alhamdulillah Minggu Pertama Bersama-sama


Bismillah


Sambil memasak jom dengar lagu 'Kun Anta' yang indah liriknya ni.

Alhamdulillah hari ini hari keempat suami dah tinggal sekali.  Rutin harian masih tunggang-langgang huhu. 

Apabila dah tinggal sekali, maka banyak benda yang dikongsi bersama-sama. Hati dan perasaan perlu dijaga. Makan, minum dan pakaian pun. Kebersihan rumah, pengisian masa dan ibadah.

Semalam, al-kisahnya lepas kerja dan mahrib kami berdua ke Zeemart membeli barang basah untuk masak.

Tiba-tiba saya semacam 'blur'. Nak masak apa yeeee?!

Pandang suami pandang ayam, pandang suami pandang ikan yang berjenis-jenis.

Selama ni, tak pernah pula nak 'blur' seteruk ni.

Teringat 'post' yang lepas. Tips memasak: 1) Rancang untuk memasak resepi untuk seminggu. 2) Bungkus siap-siap bahan.

Baru hari ini saya sempat nak memasak. 

Semalam di Jabatan ada jual kobis bunga, kobis dengan serai.

Jadi hari ini saya masak paprik sayur. Suami minta ikan, saya cuma goreng je ikan kembung 4 ekor.

Minum petang sekadar cucur manis jagung.  Biasalah makan sikit saja duduk berdua ni. 

Saya kongsikan menu rancangan untuk yang mengalami penyakit 'blur' macam saya ni. Harap dapat membantu dengan resepi ringkas mudah ini...


MENU MINGGU PERTAMA

Selasa
  • Sarapan - pancake (beli yang tepung khas memang lembut, sedap dan cepat gil* masak ni sampai hangit  -_-  'first attempt')
  • Makan tengah hari - nasi & telur mata berkicap (untuk diri sendiri haha)
  • Minum petang - cucur jagung manis + kucai
  • Makan malam - paprik sayur, nasi, ikan kembung goreng

Rabu
  • Sarapan - Spegetti angel's hair
  • Makan tengah hari - lauk semalam (untuk diri sendiri)
  • Minum petang - bubur jagung + kacang hijau
  • Makan malam - tomyam sayur (habiskan kobis dll), nasi & ayam goreng

Khamis
  • Sahur - telur dadar & tomyam sayur semalam
  • Berbuka - Bawal emas sweet sour, timun sos tomato (fav suami)


 Jumaat
  • Sarapan - potato mayo, hotdog & scrambled egg
  • Tengah hari - makan luar
  • Minum petang - puding jagung
  • Makan malam - makan luar sebab balik kampung :)





Thursday 23 April 2015

Cekap Memasak

Bismillah
Nak share satu entri yang menarik tentang pengurusan masa dalam memasak: http://saatakukaupilih.blogspot.com/2014/02/tips-memasak-cepat-untuk-wanita-super.html

Friday 17 April 2015

KEK GULA HANGUS & ASAM PEDAS KEMBONG

Bismillah

Lamanya tak kemaskini blog masakan ini, seperti dapurku yang bersawang kerana lama tak memasak.

Hari ini Jumaat, merajinkan diri memasak untuk kenduri di pejabat.  Kebetulan pula ulangtahun perkahwinan mama dan abah.  Resepi yang dimasak mestilah kesukaanku; asam pedas ikan kembung dan kek gula hangus.


KEK GULA HANGUS


 Bahan-bahan
11/2 cawan gula
125 gram mentega buttercup
1/4 cawan susu segar
1 cawan tepung gandum
6 biji telur medium
1 sudu teh esen vanila
2 sudu teh soda bikarbonat 
1 gelas air suam


Cara-cara:
1. Panaskan mentega hingga cair.  Dalam pan yang lain cairkan gula.
2. Apabila gula sudah cair, tambah dan kacau dengan air panas hingga larut gula.
3. Pecahkan telur dan kacau menggunakan senduk kayu.
4. Masukkan mentega dan gula yang telah sejuk pada suhu bilik.
5. Masukkan tepung dan soda bikarbonat.
6. Masukkan susu segar dan esen vanila.
7. Bakar pada suhu 170 celsius selama 30 minit.



ASAM PEDAS


Bahan-bahan
Cili kering segenggam
1 sudu besar halba 
4 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
3 biji tomato
150 ml air asam jawa
6 ekor ikan kembong
2 bunga kantan saiz kecil
Seikat daun kesum
Sepuluh biji bendi
Garam dan gula secukup rasa
Dua sudu besar pati ikan bilis
Minyak menumis
1 inci kunyit
1 inci halia

Cara-cara

1. Kisar cili kering dengan bawang putih dan merah bersama-sama sebiji tomato, kunyit dan halia
2. Dalam periuk panaskan minyak dan tumis seulas bawang putih dan bawang merah bersama-sama halba.
3. Masukkan cili yang telah dikisar. Masak sehingga pecah minyak.
4. Masukkan air asam jawa, tomato, daun kesum, bendi dan bunga kantan. Perasakan dengan pati ikan bilis, garam dan gula.
5. Apabila mendidih tambahkan ikan.  Masak sehingga mendidih sekali lagi.