Sunday 30 December 2012

Erti Tenang

Assalamualaikum

Pagi ini hujan lagi.  Waktu saya ke pejabat, langit betul-betul kelam macam pukul 8.00 malam. Tak sangka pula begitu dahsyat hujan, harap-harap taklah banjir lagi Kuantan.

Waktu saya mencari-cari payung di belakang, hujan di luar makin menggila. Saya meletak kereta betul-betul di tepi politeknik. Baru jam 7.40 pagi.  Dek kerana tak sampai menggapai payung tu, saya keluar dari kereta dan ambil payung terus dari belakang.  Kena bergegas kerana saya ada kelas pukul 8.00 pagi.

Hujan turun bertimpa-timpa mengenai saya.  Waktu kelopak payung terbuka, saya rasa selamat. 

Tiba-tiba saya terfikir, beginilah juga saya patut buat demi rumahtangga saya. Rumahtangga yang baharu dibina sebulan lalu. 

Suami saya jauh... Jauh di Kota Kinabalu, Sabah.  Sedangkan saya di Kuantan, Pahang.  Hidup kami tak seperti suami isteri yang lain.  Tapi, walau jauh Allah tu dekat.

Saya mengesan bahawa kekuatan dan ketenangan hati itu datang dari keinginan saya sendiri mencari Allah.  Ketenangan yang datang akan memberi saya kekuatan pula untuk membina sakinah. Menjadi "sakinah" di mata sang suami yang saya cintai itu.