Wednesday 28 October 2015

Nasi Mentega ala Nasi Lemak dan Telur Bistik

Bismillah

Minggu lepas adalah minggu yang sangat sibuk...sebabnya ada pertandingan yang saya sertai anjuran MARDI (MaGIS) jadinya banyak stok yang dibeli hujung minggu lalu tak termasak...huhu...

Itulah yang tak seronoknya, bila dah sibuk, balik penat dan tak masak, bila nak masak buka peti ais kecewa sayur-mayur yang dibeli dah layu :( pembaziran di situ...

Hujung minggu baru ni Ahad, tak balik Gombak sebab kami dah mula survey barang untuk masuk rumah baru...saya pun merajinkan diri masak nasi mentega ala-ala nasi lemak dengan telur rebus dan sambal, kacang goreng serta ikan bilis. Timun pun dah hampir-hampir layu..huhu. 


RESEPI NASI MENTEGA ALA-ALA NASI LEMAK

Bahan-bahan
Beras 1.5 pot 
Mentega 2 sudu besar
Bunga lawang 1
Halba satu sudu kecil
Kulit kayu manis 1
Bawang merah 1
Bawang putih 1 ulas
Air secukupnya
Garam 

Cara-cara
Tanak beras dengan air
Tumis semua bahan lain hingga naik bau, bolehlah dimasukkan ke dalam nasi yang sedang mendidih/ ditanak

Saya memang suka masak sekali makan sejak mengandung ni..huhu...sebabnya rasa macam membazir bila masak banyak, nanti selalu tak ulang makan. Akhirnya masuk tong sampah...

Huhu...


SAMBAL NASI LEMAK


Bahan-bahan
Segenggam cili kering
Tomato 1
Bawang besar 1
Bawang putih 2 ulas
Minyak secukupnya
Air asam jawa, gula dan garam sebagai perasa
Ikan bilis dua sudu besar

Cara-cara
1. Rendam cili kering dalam air panas hingga kembang
2. Blend kering dengan bahan-bahan lain (kecuali minyak)
3. Tumis hingga pecah minyak
4. Perasakan dengan garam, gula dan air asam

*tambah tomato dan bawang besar jika suka


Bolehlah dimakan dengan ikan bilis, kacang goreng dan timun... :) tak perlu santan pun..insya'allah berbaloi dan sedap.


***
Sarapan pagi tadi pula buat telur bistik lebihan lobak merah yang diguna untuk buat nasi goreng...senang sangat telur bistik ni...


TELUR BISTIK

Bahan-bahan
Telur 2
Garam
Jagung frozen
Lobak merah potong kecil memanjang
Bawang putih 2 ulas
Bawang besar 1
Daun bawang
3 cili padi
Kicap, sos tomato, sos cili dan sos tiram secukupnya
Minyak secukupnya

Cara-cara
1. Buat telur dadar. Perasakan dengan garam.
2. Angkat telur. Dengan menggunakan minyak yang sama tumis bawang putih dan bawang merah hingga naik bau.
3. Masukkan lobak merah dan jagung. Kicap dan sos. Masukkan air bagi cairkan kuah.
4. Apabila mendidih. Tutup api dan tuangkan ke atas telur dadar tadi. Hiaskan dengan cili padi yng telah dipotong kecil bersama-sama dengan daun bawang. SIAP!

*Boleh ditambah isi ayam...tapi tak sempat pula nak proses ayam pagi tadi...

So, malam ni resepi ayam...huhu

Friday 16 October 2015

KETAM BERSOS MASAM MANIS

Bismillah

Alhamdulillah. Setelah lama tak berkunjung ke sini...

Mood memasak kembali ke dalam diri, setelah hampir 5 bulan tidak ke dapur. Huhu,

Perasaan malas dan loya ke dapur barangkali kerana mengandung. Alhamdulillah ala kulli hal.

Sebenarnya rasa kasihan pada suami sangat-sangat dan kami asyik makan luar sampaikan saya bosan. Saya rasa bersalah sangat masa tu. Sebelum ni dahlah suami duduk jauh dan makan pun tak teratur kerana hendak berjimat. Apabila duduk berdua saya tak masak pula...dan kalau makan luar faham-fahamlah, duit yang keluar pun tidak kurang banyaknya. Ditambah dengan rasa bosan akhirnya apabila asyik memesan makanan lebih kurang sama. 

Saya pun tanam tekad dalam hati, bulan ke-5 mengandung, insya'allah saya ingin masuk dapur memasak. Sebabnya saya terbaca juga di internet, bulan ke-5 ke atas selalunya alahan dan perangai pelik ibu hamil kian berkurangan. Huhu.

Bermulanya saya memasak apabila nak balik rumah mentua sempena Hari Raya Aidil Adha, saya masak sambal bilis dengan kacang serta kentang.

Selepas tu, alhamdulillah berterusan memasak sarapan dan makan malam, kecuali kadang apabila tak berdaya sangat atau ubah angin, kami akan makan di luar. 

Tapi yang peliknya sekarang saya lagi suka makan apa-apa yang saya masak. Lebih-lebih lagi bila tengok suami laju-laju menyuap makanan. :) 

Ada beberapa resepi mudah yang ingin saya kongsi buat rujukan di kemudian hari.


KETAM BERSOS MASAM MANIS

Bahan-bahan
2 ekor ketam
5 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
1 biji tomato
1 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
air, minyak, gula dan garam secukupnya

Cara-cara
1. Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga naik bau.
2. Masukkan sos cili dan sos tomato
3. Masukkan tomato dan air. Reneh tomato sehingga sebati sebagai kuah
4. Masukkan ketam dan biarkan masak sebelum diperasakan.


*TIPS: Masak ketam jangan lama untuk dapat isi yang lembut dan cair di mulut.