Monday 14 January 2013

Memasak Demi Suami

Alhamdulillah.

Sudah sampai di pertengahan bulan satu, bermakna poket kian kering. 

Kelmarin, sampai sahaja dari Alor Star, kerana outstation di Pulau Pinang, pukul 6 pagi, saya terus ke dapur- mencari bahan mentah untuk memasak. Usai mandi dan solat subuh serta bersiap, berlarian turun ke tingkat bawah.

Menu istimewa hari ini adalah- kueteuw goreng. :)

Sekadar apa yang ada di dalam peti sejuk je- kucai, fishcake dan kueteuw. Taugeh saya beli seposen dah lembik berair. :(  Alamak...

Saya kisar cili bersama bawang merah, bawang putih dan sedikit ikan bilis. Lebihan sambal saya simpan untuk buat sambal nasi lemak. :)

Semalam, pulang dari kerja saya ke dapur- buat sup ayam. Sebab nak habiskan kueteaw yang berbaki. (Satu bungkus saya makan 3x!).

Sup ayam saya tambahkan air banyak-banyak. Separuh saya cedok dan simpan untuk buat nasi ayam. :) Separuh ayam saya perap dengan kicap, sos tiram dan minyak bijan.  

Sup di atas api saya tambahkan daun kobis dan separuh tomato. Alhamdulillah, sedap dan mengenyangkan. Itulah makan malam saya semalam. :)  Semangkuk kueteaw sup.

Sambil-sambil makan saya tanakkan nasi ayam dengan sup ayam. Tambahkan sesudu kecil kunyit. Saya tanak nasik 1 1/2 pot sahaja. Tu pun saya makan 2x.  -_-"  Ayam saya bakar di atas pan. Nasi ayam dimakan dengan hirisan kobis dan tomato. Sos cili saya campur dengan sup begitu juga dengan kicap. Cuma kicap ni manis-saya letak garam. 

Inilah sarapan dan makan tengah hari saya hari ni. :)


Ayam yang saya beli dari kedai (separuh ayam) dengan harga RM 6.50 boleh dimakan 4-6 kali. Saya bercadang untuk goreng je separuh (1/4 ayam tu) dengan serbuk cili, kari, serai dan daun kari. Insya'Allah.

Jimat kan kalau memasak?

Insya'allah moga-moga dapat membantu kewangan suami tercinta. Aminnnn.



Jika Engkau mencari akhirat, nescaya dunia datang mencarimu kembali...

Sunday 6 January 2013

Mamak

Jumaat lepas, selepas pulang dari pejabat saya bergegas ke terminal bas untuk membeli tiket ke Kuala Lumpur memandangkan suami akan pulang. :)

Selepas makan nasi goreng kampung telur mata dan teh ais saya bergegas pula pulang ke rumah sebab hajat di hati mahu masakkan tomyam buat sang suami. 

Kelam-kabut jadinya, dalam masa setengah jam saya perlu membasuh bahan mentah, memotong dan memasak. Mujur tomyam resepi mudah. Main campak-campak je dah siap.

Sampai di Gombak diambil mak abah mertua dan terus ambil suami di KL Central.  Sudah lama tak jumpa, nampak makin kacak pula. Hehehe. Inilah yang manisnya PJJ (Percintaan Jarak Jauh).  Apabila setiap kali pertemuan rasa macam baru nak berkenalan. Rasa malu-malu. Terkesima. Falling in love again and again. :)

Hehehe.

Suami kacukan Jawa dan Cina. Dalam renyai-renyai dan berjaket hitam, sekali pandang macam Tom Cruise. Dua kali pandang Tom Kurus. Nampak penat sekali. Tapi sempat lagi kami pergi mengeteh- kegemaran abah mertua yang ber'jiwa' mamak.

Kalau perasanlah, mamak atau restoran mamak adalah salah satu perniagaan yang 'malar segar' dan tumbuh macam cendawan selepas hujan. Kalau nak dibandingkan dengan perniagaan bangsa lain, mamak adalah antara perniagaan yang berjaya.

Tarik jangan tak tarik


Teh tariknya ada umph. Kuah karinya yang sedap. Nasi beriyani? Jangan ditanya lagi... (Amboi amboi)

Pernah baca tak kartun Mamak Cyber di akhbar:


Restoran mamak selalunya beroperasi 24 jam dan selalu menjaid tumpuan peminat bola untuk berkumpul beramai-ramai. 

Tahukah anda apakah maksud mamak? 

Bukan mak. Tetapi maa-maaa. Maksudnya pak cik. Dalam erti kata lain, Restoran Pak Cik. Jadi sesiapa yang suka mamak tu maknanya adalah pertalian darah dengan mamak.

Hehehe.

Tuesday 1 January 2013

Agar-agar Kopi & Santan!

Hari ini pagi-pagi lagi saya dah terpacak di dapur.  Niat di hati mahu cuba buat agar-agar dan  masak tomyam udang untuk makan tengah hari Tahun Baharu ni...  
Agar-agar sebenarnya resepi yang tak pernah saya cuba!
Sebelumnya ada juga saya buat resepi ala-ala agar-agar, cuma saya guna serbuk jelly dan satu lagi resepi puding jagung.  Tomyam saya buat sebab ada lebihan bahan-bahan masak lemak cili api yang saya buat kelmarin semasa cuti hujung minggu.
Saya masak berdasarkan resepi daripada buku 1 Hari 1 Resepi hasil tulisan Chef Hanieliza.  Harga yang saya dapat ada potongan RM 10 dari POPULAR. Kebetulan pula masa dapat kupon diskaun tu saya memang masukkan sebuah buku ni di dalam raga. :)
Agar-agar yang saya mahu buat sebenarnya Agar-agar Santan dan Agar-agar Laici (seperti yang di'request' suami), tapi bahan tak cukup pula!

Telur tiada (saya malas beli telur sebab selalu tak sempat habiskan akan buruk -kenapa telur tak boleh beli sebiji je dari kedai?) dan tak jumpa pula laici di dalam tin yang halal. Satu lagi saya tak jumpa susu sejat. Al-maklum kedai yang saya selalu singgah tu hanyalah kedai kecil depan kawasan perumahan saya.
Akhirnya saya bahagikan agar-agar jadi tiga bahagian- kopi, santan (santan kotak lebihan masak lemak yang tinggal separuh) dan nata de coco & nenas.
Dapatlah 8 mangkuk Agar-agar Nata De Coco & Nenas dan Agar-agar Santan Lapis Kopi!

Resepi Agar-agar Nata De Coco & Nenas dan Agar-agar Santan Lapis Kopi

Bahan-bahan:
1 peket agar-agar kering (15 gram)
10 cawan air
Nata De Coco & Nenas dalam tin
Serbuk kopi 1 sachet (saya ambil yang dapat percuma dari hotel! )
1/2 kotak santan (kecil)
2 cawan gula merah
1 cawan gula halus

Cara masak agar-agar:
1. Panaskan agar-agar dengan 10 cawan air sehingga mendidih. Kacau.
2. Masukkan gula merah dan gula halus sehingga mendidih. Kacau.
3. Bahagikan kepada 3 bahagian. Satu bahagian campur dengan serbuk kopi. Satu bahagian lagi dengan santan-panaskan sekejap.

a) Agar-agar Nata De Coco & Nenas
1. Tabur Nata De Coco & Nenas dalam tin (sejat airnya dahulu) ke dalam mangkuk  plastik pakai buang yang comel.
2. Tuangkan agar-agar yang tak dicampurkan apa-apa.
3. Biarkan sejuk di dalam peti ais dan sedia untuk dimakan. Nomnomnom!

b) Agar-agar Santan Lapis Kopi
1. Tuang agar-agar yang telah dicampurkan dengan kopi.
2. Sejukkan di dalam peti sejuk sehingga keras.
3. Tuang agar-agar yang telah dicampur santan.
4. Biarkan sejuk di dalam peti ais dan sedia untuk dimakan. Nomnomnom!

Resepi Tomyam Udang

Bahan-bahan:
Tomato belah separuh (lebihan masak lemak!)
Lobak merah 1/3 batang (sederhana besar)
Udang 6 ekor
Pes tomyam (1 sudu besar)
Daun limau
Seulas bawang putih -tumbuk sedikit
Bawang besar 1/2 biji (belah 3)
Halia 1/2 inci-tumbuk sedikit
Cili padi 4 biji -tumbuk sedikit
Serai -tumbuk sedikit
Sedikit perahan asam jawa
Garam dan gula merah secukup rasa

Cara-cara:
1. Masukkan semua bahan kecuali udang dan tomato.
2. Setelah mendidih masukkan udang dan tomato.
3. Perasakan dengan gula merah dan garam.
4. Siap dimakan!

Alhamdulillah ketiga-tiga resepi menjadi. 
Sebelum ni saya pernah buat tomyam tapi rasanya tak begitu 'kick' macam di kedai.  Kawan sepejabat perkenalkan saya cendawan enoki dan rencah tomyam yang sedap (bukan Maggi).

Tahu tak cendawan enoki?
Cendawan Enoki

Rasanya macam cendawan biasa dan sedap kalau dibuat sup dan tomyam. Boleh juga kalau nak goreng dengan daging. Harganya dalam RM 1++ satu peket. Cara nak masak buang dahulu akar dan cuci bersih-bersih.
Memasak ni memang 'best' kalau menjadi. Semangat saya berkobar-kobar betul sejak beli buku memasak yang 'best' Chef Hanieliza ditambah pula dorongan suami yang tersayang. Lagi pun dengan memasak ni insya'Allah dapat bantu saya menjimatkan wang. 
Selamat Tahun Baharu 2013!!!